Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paras air Tutong tidak terjejas

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 7 Jan – Meskipun dengan kejadian hujan lebat dan berpetir sejak dua hari kebelakangan ini, paras air di Daerah Tutong terutama di kawasan pedalaman tidak menunjukkan peningkatan.

    Bahkan menurut hasil pemantauan banjir di Daerah Tutong yang dibuat oleh Balai Bomba Lamunin, paras air banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan pedalaman Daerah Tutong telah menurun dan ada beberapa kawasan lainnya telahpun mengering, pagi tadi.

    Paras air di kawasan Jalan Bangkuru Mukim Rambai telah menurun menjadi 0.40 meter dan masih lagi tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa.

    Sementara di kawasan Jalan Kuala Ungar/Rambai telah mencatatkan paras air 0.22 meter dan Jalan Rambai mencatat 0.15 yang mana kedua-dua jalan tersebut boleh dilalui oleh kenderaan biasa.

    Manakala keadaan air banjir di Kampung Layong, Penapar dan Panchong juga telah mengering.

    Menurut kenyataan Jabatan Kaji Cuaca Negara Brunei Darussalam yang dikeluarkan kelmarin, cuaca negara ini pada amnya hanya dipengaruhi oleh laluan angin Timur Laut dan keadaan setempat.

    Hujan berpetir dijangka berlaku di beberapa kawasan pedalaman pada waktu petang, sebelum hujan dijangka turun di beberapa kawasan pada waktu malam.

    Orang ramai dinasihati sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengambil langkah sewajarnya dengan mengikuti media massa dan media sosial rasmi Jabatan Kaji Cuaca Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda