PARIS, 3 MAC – Pihak berkuasa Paris mula melaksanakan had penggunaan lorong khas di lebuh raya lingkaran, Peripherique, khusus untuk perkongsian kereta pada waktu puncak, dalam usaha mengurangkan kesesakan dan pencemaran di antara lebuh raya bandar paling sibuk di Eropah.
Langkah itu pernah digunakan ketika Sukan Olimpik Paris 2024 dan mendapat sokongan daripada dewan bandaraya yang dipimpin Parti Sosialis, namun dikritik oleh pihak pembangkang.
Mulai hari ini, lorong kiri paling laju di lebuh raya itu akan dikhaskan kepada kenderaan dengan sekurang-kurangnya dua penumpang pada waktu puncak.
Peraturan itu tidak dikhaskan kepada kenderaan berat, tetapi membenarkan pengangkutan awam, teksi, kenderaan kecemasan dan pengguna dengan keperluan khas.
Sejak Oktober lalu, had laju lebuh raya lingkaran itu telah dikurangkan daripada 70km/j kepada 50km/j sebagai sebahagian daripada usaha mengawal pencemaran dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
David Belliard, timbalan datuk bandar yang bertanggungjawab terhadap pengangkutan, berkata langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dengan menggalakkan perkongsian kenderaan, sekali gus menurunkan tahap pencemaran bunyi dan udara. – AFP
