Paris Hilton sedang mengiklankan siri podcast jenayah sebenar terbitannya My Friend Daisy, yang akan disiar pada 26 Mac.
Menurut UPI, Hilton, 44, dan syarikatnya menerbitkan rancangan yang meneliti kematian Daisy De La O yang berusia 19 tahun pada 2021 dan bagaimana media sosial digunakan untuk membantu menjejak pembunuhnya.
“Sekiranya awda seperti saya, awda mungkin menganggap TikTok sebagai tempat untuk melihat video haiwan kesayangan yang comel dan trend tarian yang viral.
“Tetapi beberapa tahun lalu, sekumpulan gadis remaja menggunakan TikTok untuk alasan yang sangat berbeza – untuk menjejaki pembunuh Daisy, rakan mereka,” kata Hilton dalam pratonton rancangan itu.
Wartawan Jenn Swann menulis dan menjadi hos podcast tersebut.
“Hos kami, wartawan Jenn Swann telah menghabiskan masa bertahun-tahun menyiasat kisah ini dengan membongkar rahsia, suspek dan sistem yang gagal melindungi Daisy,” Hilton meneruskan dalam pratonton.
“Ini lebih daripada sekadar kes pembunuhan. Ia adalah kisah tentang keadilan, daya tahan, dan kuasa tular yang mencetuskan pemburuan antarabangsa.”
Hilton berkata dia diperkenalkan dengan cerita itu apabila dia membaca karya Swann dalam artikel The Cut.
“Saya sedih dengan apa yang dia alami,” katanya kepada Deadline. “Tetapi juga sangat terharu dengan cara komunitinya bersatu menggunakan aktiviti digital untuk menuntut keadilan. Berganding bahu dengan iHeart dan Jenn, yang sudah mengetahui kisah Daisy adalah penting bagi saya, kerana bersama-sama kita boleh meningkatkan kesedaran kepada lebih ramai orang dan terus menentang keganasan rumah tangga.”
Podcast berkenaan akan ditayangkan dengan dua episod. – Agensi
