Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paris Masters sedia tampil di arena mega baharu

    PARIS, 14 OKT – Paris Masters akan membuat penampilan sulungnya di La Defense Arena bulan ini, dengan gelanggang utama yang luas itu menjadi yang kedua terbesar di dunia selepas Stadium Arthur Ashe bagi pertandingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) dalam gelanggang tenis global.

    Pengarah kejohanan, Cedric Pioline, berkata kepada AFP, ia menunjukkan acara dalam dewan itu sedang ‘berevolusi’ dan lokasi baharu di pinggir barat bandar Perancis itu akan membolehkan inovasi seperti laluan masuk pemain yang dipertingkatkan dengan pertunjukan laser.

    Tempat baharu tersebut akan dikenali penonton TV sebagai lokasi acara renang pada Sukan Olimpik tahun lalu dan ia juga menjadi markas kelab ragbi kedudukan 14 teratas Perancis dan Racing 92 dan sering menjadi pentas artis terkenal dunia.

    “Gelanggang utama akan mempunyai kapasiti kira-kira 17,500 orang, menjadikannya gelanggang kedua terbesar di dunia untuk kejohanan tahunan, selepas gelanggang utama US Open,” kata Pioline, bekas pemain nombor lima dunia yang pernah menjadi finalis kalah di Wimbledon dan Terbuka AS.

    “Akan ada lebih dari 4,000 tempat duduk di Gelanggang No. 1 dan 4,000 di Gelanggang No. 2. serta Gelanggang No. 3 akan mempunyai kapasiti beberapa ratus tempat duduk,” tambahnya.

    Paris Masters sedia membuat penampilan di La Defense Arena, gelanggang utama kedua terbesar di dunia selepas Stadium Arthur Ashe. – Arch Daily

    Acara ATP Masters 1000 tersebut akan berlangsung dari 27 Oktober hingga 2 November.
    Pada awal 2024, pihak penganjur telah menandatangani kontrak 10 tahun untuk

    menganjurkan kejohanan di La Defense Arena, keputusan dibuat bagi mematuhi syarat ATP untuk kejohanan terbesar mereka.

    Selain daripada peningkatan kapasiti tempat duduk, gelanggang baharu tersebut juga akan memberikan lebih ruang di atas gelanggang untuk pemain.

    “Kami juga memutuskan untuk menambah saiz permukaan bermain demi keselesaan pemain,” kata Pioline.

    Tambahnya, “Di Bercy, gelanggang luar agak kecil berbanding komitmen fizikal pemain dan liputan gelanggang mereka.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda