Asia Artist Awards (AAA) telah mendedahkan barisan pertama pelakon yang bakal hadir pada acara ulang tahun ke-10 penganugerahan tersebut.
Park Bo Gum dan IU merupakan antara yang tersenarai dan akan menghadiri 10th Anniversary Asia Artist Awards 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember di Stadium Nasional Kaohsiung, Taiwan.
Dalam siri asal Netflix, When Life Gives You Tangerines yang ditayangkan awal tahun ini, Park Bo Gum melakonkan watak Yang Gwan Shik, memikat penonton dengan karakter yang belum pernah dilihat sebelum ini dan meninggalkan kesan emosi yang mendalam.
Persembahan tersebut memperkukuh kerjayanya dengan lakonan penuh perasaan serta ekspresi halus yang menyentuh hati penonton.
IU, yang turut membintangi siri sama sebagai Ae Soon dan Geum Myung, menambah daya tarikan setiap episod dengan keupayaan emosi yang luas serta interpretasi watak yang mengagumkan. Dengan penghayatan penuh teliti terhadap emosi kedua-dua watak, IU sekali lagi membuktikan bakat lakonan yang tiada tandingan dan menampilkan persembahan penting dalam kerjayanya.
Pertemuan semula Park Bo Gum dan IU, yang pernah memikat penonton di seluruh dunia dengan keserasian mereka di layar, sudah pun menarik perhatian global menjelang 10th AAA 2025.
Menurut Allkpop, acara tersebut akan berlangsung selama dua hari, dengan majlis anugerah utama pada 6 Disember dan 10th AAA Festa pada 7 Disember.
Pada 6 Disember, majlis anugerah akan dikendalikan oleh ‘AAA Queen’ , Jang Wonyoung bersama pemenang dua kali kategori Pelakon Terbaik AAA, Junho. Sementara itu, pada 7 Disember, festival ACON 2025 dikendalikan oleh Lee Jun Young, Shuhua daripada (G)I-DLE, Allen daripada CRAVITY serta Kiki Xu, menjanjikan sambutan ulang tahun ke-10 acara pencalonan tersebut. – Agensi


