TIRANA, ALBANIA, 30 MEI – Parlimen Albania hari ini gagal memilih seorang presiden baharu selepas tiada calon dilantik dalam pengundian pusingan ketiga.
Parti Sosialis dan pembangkang gagal mencapai kompromi mengenai calon untuk mengganti Presiden Ilir Meta, dan tidak ada calon bebas yang dilantik.
Dalam tiga pusingan pertama, pemenang mesti memperoleh sekurang-kurangnya tiga perlima daripada undi, atau 84 orang penggubal undang-undang. Parti pemerintah Sosialis – dengan 74 daripada 140 kerusi dalam parlimen – setakat ini tidak mempunyai undi mencukupi untuk memilih seorang calon.
Bagaimanapun, dalam dua pusingan terakhir, hanya majoriti daripada 71 penggubal undang-undang diperlukan.
Walaupun tidak ada undi yang dibuang dalam tiga pusingan pertama pada tiga hari berturut-turut, suruhanjaya parlimen berkata ia secara formal menganggap pengundian telah berlangsung.
Pusingan seterusnya dijadual diadakan pada Isnin depan. Parti Sosialis dijangka mencadangkan dan mengundi seorang calon, meskipun mereka belum berkata siapa calonnya. Calon dicadangkan oleh kumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 20 penggubal undang-undang. – AP