COPENHAGEN, 28 FEB – Parlimen Denmark hari ini menggesa penggubal undang-undang dan pekerja dengan 179 ahli dewan perhimpunan supaya tidak menggunakan TikTok pada telefon kerja mereka sebagai langkah keselamatan siber, dengan mengatakan terdapat risi-ko pengintipan.
Aplikasi perkongsian video popular, yang dimiliki oleh China, berdepan penelitian yang lebih intensif daripada Eropah dan AS berhubung keselamatan dan privasi data di tengah-tengah kebimbangan TikTok boleh digunakan untuk mempromosikan pandangan pro Beijing atau mengambil maklumat pengguna.
Speaker parlimen Denmark, Soren Gade berkata bahawa e-mel telah dihantar hari ini kepada penggubal undang-undang dan pekerja dengan “rekomendasi kuat supaya awda memadamkan aplikasi TikTok jika awda telah menggunakannya sebelum ini.”
Perhimpunan itu bertindak selepas penilaian dari Pusat Keselamatan Siber Denmark, yang mengatakan terdapat risiko pengintipan.
Agensi itu adalah sebahagian daripada perkhidmatan perisikan asing Denmark.
“Kami menyesuaikan dengan sewajarnya,” kata Gade dalam satu kenyataan.
Tidak diketahui dengan serta-merta berapa ramai penggubal undang-undang Denmark yang menggunakan TikTok.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, beberapa ahli politik telah mengumumkan secara terbuka bahawa mereka telah memadamkan aplikasi itu daripada telefon kerja mereka atas sebab keselamatan siber.
Awal bulan ini, cawangan eksekutif Kesatuan Eropah berkata ia telah melarang sementara TikTok daripada telefon yang digunakan oleh pekerja sebagai langkah keselamatan siber.
Tindakan EU mengikuti langkah serupa di AS, di mana lebih separuh daripada 50 negeri dan kongres negara itu telah mengharamkan TikTok daripada peranti rasmi kerajaan.
Di Norway, yang bukan ahli 27 negara EU, menteri kehakiman terpaksa memohon maaf bulan ini kerana gagal mendedahkan bahawa dia telah menggunakan TikTok pada telefon milik kerajaannya. – AP