BRUSSELS, 30 MAC – Parlimen Eropah bersedia mengesahkan pas ‘hijau’ COVID-19 Kesatuan Eropah (EU) pada Jun, kata penggubal undang-undang semalam, justeru membuka laluan kepada perjalanan lebih senang semasa kemuncak musim panas.
Pas vaksin tersebut dicadang dikemukakan pada bulan ini oleh Suruhanjaya Eropah. Ia bertujuan melancarkan perjalanan untuk mereka yang telah menerima suntikan vaksin, diuji negatif atau telah pun sembuh daripada jangkitan koronavirus.
Ahli parlimen bersetuju pada minggu lalu untuk mempertimbangkan cadangan ‘sijil hijau digital’ untuk membantu mempercepatkan proses kelulusan yang boleh mengambil masa beberapa bulan malah beberapa tahun.
Ketua jawatankuasa parlimen Juan Fernando Lopez Aguilar berkata satu tempoh masa telah ditetapkan untuk ‘mempertimbangkannya’ dan ia mungkin diluluskan semasa sesi pada 7 hingga 10 Jun.
Lopez Aguilar, yang bertanggungjawab merunding cadangan bagi pihak parlimen, menegaskan perlindungan data peribadi terpaksa dijamin dan harus adanya ‘klausa’ yang mengehadkan tempoh pas akan diperlukan.
Jika parlimen meluluskan tindakan itu, ia perlu ditandatangani oleh Majlis Eropah, badan yang mewakili negara anggota EU.
Suruhanjaya berkata ia berharap pas tersebut akan dikuatkuasakan pada Jun.
Pelan itu telah menerima tentangan dari beberapa ibu negara, terutamanya disebabkan kebimbangan diskriminasi terhadap mereka yang masih menunggu vaksin tatkala kempen inokulasi blok masih bergelut untuk dilancar serta diluluskan. – AFP