STRASBOURG, 8 OKT – Parlimen Eropah kelmarin meluluskan pembaharuan yang memudahkan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan semula keperluan visa terhadap warga negara bukan EU yang kini menikmati pengecualian visa untuk lawatan jangka pendek, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Perubahan itu memperluas senarai sebab bagi menggantung perjalanan bebas visa, termasuk pelanggaran Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), keengganan mematuhi keputusan mahkamah antarabangsa, kegagalan menyelaraskan dasar visa dengan EU atau pengenalan skim kerakyatan berasaskan pelaburan, kadangkala digelar ‘pasport emas,’ yang menawarkan kewarganegaraan sebagai pertukaran kepada bayaran dan membolehkan perjalanan lebih bebas di Eropah.
Perjalanan tanpa visa bagi pegawai kerajaan juga boleh digantung sekiranya mereka didapati terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan lain.
Mekanisme asas untuk mengenakan semula visa telah pun wujud, yang sebelum ini dicetuskan, contohnya, oleh peningkatan mendadak permohonan suaka dari negara tertentu. Peraturan baharu ini memberi EU lebih fleksibiliti untuk mengaktifkan ‘brek kecemasan’ dan boleh digunakan sebagai tekanan sekiranya sesebuah negara gagal bekerjasama dalam isu migrasi atau hal lain.
Pembaharuan itu melibatkan 61 negara, termasuk Israel, Georgia, Venezuela, Ukraine dan Serbia, yang rakyatnya kini dibenarkan memasuki kawasan Schengen Eropah tanpa visa bagi tempoh sehingga 90 hari dalam mana-mana tempoh 180 hari. – Bernama


