Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parlimen Hungary lulus bidaan Sweden sertai NATO

    STOCKHOLM, 27 FEB – Sweden kelmarin melepasi halangan terakhirnya untuk menyertai NATO selepas parlimen Hungary mengesahkan bidaan itu dalam apa yang disebut oleh perdana menteri Sweden sebagai ‘hari bersejarah’, sementara anggota perikatan lain menyatakan kelegaan terhadap langkah yang didorong oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

    Ketua NATO, Jens Stoltenberg berkata Sweden akan menjadikan perikatan itu ‘lebih kuat dan selamat’ manakala Amerika Syarikat (AS), kuasa perikatan utama serta Britain dan Jerman mengalu-alukan penyertaan Sweden.

    Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata kehadiran Sweden dalam NATO “memperkukuh pakatan kami dan dengan itu keselamatan Eropah dan dunia”.

    Pencerobohan Rusia dua tahun lalu mendorong Sweden dan Finland untuk memohon menyertai blok rentas Atlantik, menamatkan dasar berkecuali lama mereka.

    Bagaimanapun, setiap ahli NATO perlu meluluskan negara baharu dan undian Hungary menamatkan penangguhan lebih setahun yang mengecewakan 31 negara lain ketika Ukraine bertempur dengan tentera Rusia.

    Finland menyertai keahlian NATO pada April tahun lalu, tetapi bidaan Sweden telah disekat oleh kedua-dua Hungary dan Turkiye, dengan Ankara meluluskan pencalonan Stockholm hanya bulan lepas.

    Hungary kemudian mengikut jejak langkah tersebut, dengan 188 ahli parlimen memberikan undi sokongan dan enam wakil dari sayap kanan menentang.

    “Hari ini merupakan hari bersejarah. Sweden bersedia untuk memikul tanggungjawabnya untuk keselamatan Euro-Atlantik,” kata Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson di X.

    Bercakap mengenai potensi reaksi dari Rusia, Kristersson memberitahu sidang akhbar, “Satu-satunya perkara yang kita boleh jangkakan dengan jelas adalah mereka tidak suka Sweden menjadi ahli NATO, begitu juga Finland”. – AFP

    Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat kerajaan selepas parlimen Hungary mengundi untuk mengesahkan penyertaan NATO Sweden di Stockholm, Sweden, pada 26 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda