Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parlimen India larang perjudian dalam talian

    NEW DELHI, 22 OGOS – Parlimen India meluluskan undang-undang baharu melarang perjudian dalam talian selepas data kerajaan menunjukkan seramai 450 juta rakyat mengalami kerugian berjumlah AS$2.3 bilion setiap tahun melalui aplikasi.
     
    Larangan itu melibatkan platform permainan kad, poker serta sukan fantasi, termasuk aplikasi kriket fantasi tempatan yang amat popular di negara itu.
     
    Kerajaan berkata kira-kira satu pertiga daripada penduduk negara paling ramai di dunia itu telah kehilangan wang akibat perjudian dalam talian.
     
    Rang Undang-undang Promosi dan Peraturan Permainan Dalam Talian diluluskan kedua-dua dewan parlimen lewat kelmarin, mengharamkan penawaran, promosi dan pembiayaan permainan berkenaan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun.
     
    “Undang-undang ini bertujuan membendung ketagihan, kekurangan kewangan dan masalah sosial yang berpunca daripada platform permainan pemangsa yang bersandarkan janji palsu kekayaan segera,” menurut kenyataan kerajaan.
     
    Industri permainan digital India merupakan antara pasaran terbesar dunia, namun undang-undang baharu itu mengecualikan e-sukan dan permainan pendidikan, yang menurut kerajaan akan dipromosikan sebagai sebahagian daripada ekonomi digital.
     
    Perdana Menteri, Narendra Modi berkata undang-undang tersebut akan ‘menggalakkan e-sukan dan permainan sosial dalam talian’ sambil ‘melindungi masyarakat daripada kesan berbahaya permainan wang dalam talian’.
     
    Kumpulan industri sebelum ini menggesa kerajaan memilih pendekatan pengawalseliaan dan percukaian, bukannya larangan sepenuhnya, dengan memberi amaran langkah itu boleh mendorong pemain ke platform luar pesisir yang haram. – AFP
     
    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda