JAKARTA, 20 MAC – Parlimen Indonesia meluluskan pindaan kontroversi terhadap Undang-undang Tentera Nasional Indonesia (TNI) meskipun berdepan bantahan daripada kumpulan mahasiswa dan organisasi masyarakat sivil.
Rang undang-undang itu diluluskan dalam sesi pleno hari ini yang dipengerusikan oleh Speaker Puan Maharani dan disiarkan secara langsung menerusi Parliamen TV.
Menurut Puan, pindaan itu memperkenalkan tiga perubahan utama termasuk memperluaskan peranan TNI dalam tugas bukan perang, meningkatkan kehadiran anggota tentera dalam kementerian, dan melanjutkan tempoh perkhidmatan tentera.
Antara pindaan paling hangat diperdebatkan ialah Perkara 7, yang memperluas skop operasi ketenteraan bukan tempur daripada 14 kepada 16 peranan, dengan penambahan pertahanan siber serta bantuan kepada warganegara di luar negara.
Perkara 47 pula meningkatkan bilangan kementerian yang boleh dianggotai oleh anggota tentera aktif daripada 10 kepada 14. Anggota juga boleh berada di selain kementerian berkenaan dengan syarat mereka perlu meletak jawatan atau bersara daripada perkhidmatan tentera terlebih dahulu.
Sementara itu, Perkara 53 melanjutkan tempoh perkhidmatan tentera berdasarkan pangkat, dengan kerajaan berhujah bahawa langkah ini menjamin keadilan dalam pasukan bersenjata.
“Kami, bersama kerajaan menegaskan bahawa pindaan ini tetap berlandaskan prinsip demokrasi, supremasi awam dan hak asasi manusia, sejajar dengan undang-undang nasional dan antarabangsa,” kata Puan. – Bernama
