PARIS, 11 SEPT – Kanak-kanak bawah 15 tahun di Perancis perlu dilarang sepenuhnya daripada menggunakan media sosial, manakala remaja berusia 15 hingga 18 tahun perlu dikenakan ‘perintah berkurung digital’ pada waktu malam, demikian gesaan sebuah jawatankuasa parlimen Perancis, hari ini.
Cadangan itu dikemukakan dalam laporan oleh ahli parlimen jawatankuasa berkenaan selepas berbulan-bulan mengumpul keterangan daripada keluarga, eksekutif media sosial serta pempengaruh.
Pejabat Presiden Emmanuel Macron sebelum ini turut memberi persetujuan bagi larangan untuk kanak-kanak dan remaja, selepas Australia tahun lalu mula merangka undang-undang penting yang melarang mereka di bawah usia 16 tahun menggunakan media sosial.
Ketua jawatankuasa, Arthur Delaporte, memberitahu AFP, beliau akan memfailkan aduan jenayah terhadap platform video pendek popular TikTok kerana “membahayakan nyawa” pengguna.
Jawatankuasa itu ditubuhkan pada Mac lalu, pada mulanya bagi meneliti TikTok dan kesan psikologi terhadap golongan bawah umur selepas saman pada 2024 oleh tujuh keluarga yang menuduh platform itu mendedahkan anak-anak mereka kepada kandungan yang mendorong ke arah bunuh diri.
TikTok menegaskan, keselamatan pengguna mudanya adalah ‘keutamaan utama’.
Namun, Delaporte berkata, “Tidak diragukan lagi platform ini tahu apa yang salah, bahawa algoritma mereka bermasalah dan wujud semacam kerjasama aktif dalam membahayakan pengguna.”
Eksekutif TikTok, yang dimiliki syarikat China ByteDance, memberitahu jawatankuasa parlimen, aplikasi itu menggunakan pengawasan dipertingkat dengan AI yang tahun lalu berjaya mengesan 98 peratus kandungan yang melanggar syarat perkhidmatannya di Perancis.
Namun, bagi ahli parlimen, usaha itu dianggap masih tidak mencukupi dan peraturan TikTok didapati ‘sangat mudah dielak’.
Cadangan ‘perintah berkurung digital’ untuk remaja berusia 15 hingga 18 tahun itu adalah bagi memastikan mereka tidak dapat mengakses media sosial bermula jam 10 malam hingga 8 pagi. – AFP


