HANOI, 19 FEB – Parlimen Vietnam hari ini meluluskan rancangan untuk membina laluan kereta api bernilai AS$8 bilion dari Haiphong, bandar pelabuhan terbesar di utara negara itu, ke sempadan dengan China, sekali gus meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara yang diperintah oleh parti komunis dan memudahkan perdagangan.
Laluan kereta api baharu itu akan melintasi beberapa hab pembuatan utama Vietnam, yang menjadi rumah kepada syarikat gergasi global seperti Samsung, Foxconn, Pegatron dan syarikat gergasi global lain, yang bergantung kepada aliran komponen dari China.
Laluan tersebut akan terbentang sepanjang 390 kilometer dari Haiphong ke Lao Cai, sebuah bandar di kawasan pergunungan yang bersempadan dengan wilayah Yunnan di China, serta melalui ibu negara Hanoi.
Pembinaan laluan kereta api itu disokong oleh 95 peratus daripada anggota parlimen Vietnam dalam satu undian yang dilakukan di Perhimpunan Nasional, kata seorang wartawan AFP.
China akan menyediakan sebahagian pembiayaan melalui pinjaman untuk projek itu, yang dijangka menelan kos lebih daripada AS$8 bilion.
Projek itu adalah salah satu daripada dua laluan kereta api ke China yang dirancang Vietnam sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Dua Koridor, Satu Jalur’, yang menghubungkan kepada program infrastruktur global Jalur dan Laluan Beijing. – AFP
