HANOI, 16 JUN – Perhimpunan Kebangsaan Vietnam hari ini telah meluluskan pindaan perlembagaan untuk memansuhkan keseluruhan peringkat pentadbiran daerah, sebagai sebahagian daripada reformasi besar-besaran terhadap sistem pentadbiran negara itu.
Ahli-ahli parlimen sebulat suara bersetuju untuk menghapuskan pentadbiran peringkat daerah, sekali gus menjadikan struktur kerajaan hanya tinggal dua lapisan iaitu wilayah dan komun.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada siri pembaharuan radikal oleh kerajaan Vietnam yang bertujuan menjimatkan perbelanjaan berbilion dolar dengan mengurangkan satu daripada lima pekerjaan dalam sektor awam.
Minggu lalu, parlimen yang berfungsi sebagai badan yang meluluskan dasar dalam sistem satu parti turut meluluskan penggabungan kebanyakan wilayah dan bandar di negara itu, yang akan mengurangkan hampir 80,000 jawatan.
Pada Februari lalu, kerajaan turut mengurangkan jumlah kementerian, menyebabkan 23,000 lagi pekerjaan dihapuskan.

Perubahan besar itu sejajar dengan pendekatan drastik oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Argentina, Javier Milei dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Namun, dalam sistem negara itu, di mana pekerjaan dalam perkhidmatan awam sering dianggap sebagai ‘kerja seumur hidup’, pembaharuan yang dipelopori oleh Ketua Parti Komunis, To Lam, telah menimbulkan sedikit kebimbangan.
Parlimen hari ini turut meluluskan langkah menyusun semula peringkat pentadbiran paling bawah dengan mengurangkan jumlah komun daripada lebih 10,000 kepada sekitar 3,300 buah.
Dengan reformasi penting itu, saiz dan keluasan komun akan diperluas, kata Menteri Dalam Negeri, Pham Thi Thanh Tra.
Langkah itu dijangka akan menghapuskan sekitar 120,000 jawatan sambilan di peringkat komun, menurut kenyataan Tra minggu lalu.
Reformasi kerajaan itu hadir selepas kempen anti-rasuah berskala besar yang menyaksikan puluhan pegawai kanan kerajaan dan tokoh perniagaan utama dihadapkan ke muka pengadilan. – AFP