LONDON, 5 OGOS – Bekas pemain bola sepak Arsenal, Thomas Partey hadir di Mahkamah Majistret Westminster, London, hari ini bagi menghadapi perbicaraan selepas didakwa dengan lima pertuduhan rogol.
Pemain tengah itu turut berdepan satu pertuduhan serangan seksual, dengan kesemua kesalahan didakwa berlaku antara tahun 2021 hingga 2022.
Peguamnya, Jenny Wiltshire sebelum ini menyatakan bahawa Partey menafikan semua pertuduhan terhadapnya dan ingin membersihkan namanya.
Partey tiba di mahkamah dengan memakai baju panas berzip berwarna gelap dan membawa jaket sut. Menurut pihak polis, siasatan terhadap Partey, yang kini berstatus ejen bebas selepas kontraknya bersama Arsenal tamat pada penghujung musim lalu, dimulakan pada Februari 2022 selepas menerima laporan rogol pertama. – AP

