ISLAMABAD, 3 JAN – Parti bekas perdana menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan kini menjadi sasaran ‘pemecatan sistematik’ dan ‘penipuan sebelum pengundian’, kata pemerhati hak asasi kelmarin, justeru menimbulkan keraguan terhadap keadilan pilihan raya akan datang.
Kertas pencalonan untuk Khan dan majoriti calon parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan telah ditolak oleh suruhanjaya pilihan raya, menurut PTI, menghalang mereka daripada bertanding dalam pilihan raya pada 8 Februari.
“Ciri-ciri penolakan itu kelihatan sistematik,” kata pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP), Farhatullah Babar kepada AFP.
“Cara penolakan banyak kertas pencalonan adalah terang-terangan dan alasan yang diberikan sangat lemah,” katanya, sambil menambah “tiada ruang untuk keraguan bahawa penipuan sebelum pengundian sedang berlaku”.
Khan, 71, telah dipenjarakan sejak Ogos tahun lalu dan sedang menghadapi perbicaraan dalam beberapa kes yang menurutnya telah dirancang untuk menghalangnya daripada bertanding dalam pemilihan sebagai ketua partinya. – AFP
