Thursday, January 2, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parti Buruh diramal raih kemenangan bersejarah

    LONDON, 4 JULAI – Britain mengundi hari ini dalam pilihan raya umum yang dijangka memberikan kemenangan besar kepada parti pembangkang, parti Buruh, dan menamatkan hampir sedekad setengah pemerintahan konservatif.

    Undian kebangsaan pertama sejak Boris Johnson membawa Tories kepada kemenangan pada 2019 itu adalah berikutan gesaan mengejut Perdana Menteri Rishi Sunak untuk mengadakannya enam bulan lebih awal daripada yang diperlukan.

    Pertaruhan itu kelihatannya akan memakan diri, dengan tinjauan pendapat sepanjang kempen enam minggu, dan selama dua tahun terakhir, menunjuk kepada kekalahan teruk bagi parti sayap kanannya.

    Itu hampir pasti akan meletakkan pemimpin Buruh, Keir Starmer, 61, di Downing Street, sebagai ketua parti terbesar di parlimen.

    Parti Buruh yang berhaluan kanan diunjurkan memenangi pilihan raya umum pertamanya sejak 2005 mengikut perkadaran bersejarah, dengan undian-undian menjelang pilihan raya semuanya meramalkan kemenangan terbesarnya.

    Seorang pesara Chelsea berjalan ke pusat mengundi di The Royal Hospital Chelsea, London kelmarin ketika Britain mengadakan pilihan raya umum. – AFP

    Namun Starmer tidak mengambil mudah kerana beliau menggesa pengundi untuk tidak duduk di rumah.

    “Masa depan Britain ada dalam undi,” katanya. “Tetapi perubahan hanya akan berlaku jika awda mengundinya.”

    Pengundian bermula pada pukul 7 pagi (0600 GMT) di lebih 40,000 pusat mengundi di seluruh negara, dari dewan gereja, pusat komuniti dan sekolah-sekolah hingga tempat yang lebih luar biasa seperti pub dan sebuah kapal.

    Sunak adalah antara yang datang awal, membuang undi di kawasannya di Richmond dan Northallerton di Yorkshire, utara England. Starmer mengundi sekitar dua jam kemudian di kerusi utara Londonnya.

    “Saya baru pulang dari Australia dan saya merasakan segala-galanya telah menjadi salah di negara ini dan ramai orang tidak berpuas hati,” kata Ianthe Jacob, seorang penulis berusia 32 tahun, selepas mengundi di Hackney, timur London.

    Di Saint Albans, utara London, pelajar berusia 22 tahun Judith memberitahu AFP, “Saya tidak begitu mempercayai mana-mana daripada mereka tetapi akan mengundi. Ramai rakan saya merasakan perkara yang sama.”

    Undian ditutup pada pukul 10 malam (2100 GMT). Penyiar-penyiar kemudian mengumumkan pengundian keluar, yang biasanya memberikan gambaran tepat tentang prestasi parti-parti utama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda