SINGAPURA, 17 APRIL – Parti pembangkang Singapura, Parti Pekerja (WP), melancarkan manifesto pilihan rayanya hari ini, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) bulan depan, yang mengandungi pelbagai cadangan dasar termasuk menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun, melaksanakan gaji minimum kebangsaan dan mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin.
Manifesto setebal 122 muka surat bertajuk Working For Singapore, yang disiarkan di laman sesawang rasmi WP, merangkumi 125 cadangan dalam lima bidang utama, kos sara hidup; pertumbuhan dan peluang ekonomi; keterangkuman dan kesaksamaan; akauntabiliti dan demokrasi; serta keselamatan dan geopolitik.
Bagi menangani isu kos sara hidup, WP mencadangkan lebih banyak barangan keperluan – termasuk makanan asas – dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mengurangkan kesan inflasi terhadap golongan berpendapatan rendah dan meringankan beban kumpulan pertengahan yang kurang menerima manfaat baucar GST sedia ada.
Manifesto itu turut mencadangkan skim insurans kehilangan pekerjaan untuk semua pekerja tempatan, yang mana majikan dan pekerja akan menyumbang kepada tabung khas bagi memberi bantuan kewangan sekiranya berlaku pemberhentian kerja.
Selain itu, WP menggesa penghapusan umur persaraan wajib, membolehkan pekerja warga emas terus bekerja sekiranya mereka mahu. – Bernama
