PHNOM PENH, 15 MEI – Badan pilihan raya Kemboja hari ini enggan mendaftarkan parti pembangkang utama dan pencabar utama kepada Perdana Menteri, Hun Sen bagi pilihan raya negara akan datang.
Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, parti pembangkang Candlelight Party (CP) telah gagal mengemukakan dokumen tertentu, jadi ia tidak dibenarkan untuk bertanding pada 23 Julai ini.
Hun Sen adalah salah seorang pemimpin paling lama berkhidmat di dunia dan pengkritik serta kumpulan hak asasi manusia menuduhnya menggunakan sistem perundangan untuk menumpaskan penentangan terhadap pemerintahannya, khususnya menjelang pilihan raya.
CP, dilihat sebagai satu-satunya pencabar kuat kepada Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen, memberitahu AFP bahawa mereka akan merayu untuk “memulihkan
asas demokrasi.”
Jika keputusan itu dikekalkan, ia akan membuka jalan kepada CPP untuk secara efektif bersaing dalam perlumbaan pasti menang apabila rakyat Kemboja mengundi Julai depan.

CP mendapat tarikan dalam pilihan raya tempatan tahun lepas, dengan meraih 22 peratus undi popular, dan merancang untuk mencabar CPP di setiap kawasan pilihan raya kebangsaan.
Jurucakap parti Kimsour Phirith memberitahu AFP, larangan itu “tidak munasabah kerana kami sudah mempunyai sokongan akar umbi.”
“Adalah sukar untuk Kemboja berjalan di landasan demokrasi parti majmuk kerana kita tidak boleh bersaing dalam pilihan raya,” katanya.
Rong Chhun, seorang calon terkemuka yang merancang untuk mencabar Hun Sen secara langsung, telah hilang kelayakan minggu lalu kerana sabitan menghasut sebelum ini. – AFP