Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parti pemerintah Jepun hilang majoriti, tamparan hebat buat Ishiba

    TOKYO, 21 JULAI – Gabungan parti pemerintah Jepun dijangka kehilangan majoritinya dalam Dewan Kaunselor susulan pilihan raya kelmarin, satu keputusan yang bakal meningkatkan tekanan ke atas Perdana Menteri, Shigeru Ishiba yang sedang bergelut tetapi bertegas untuk terus memegang jawatan walaupun partinya menerima satu lagi tamparan hebat.

    Menurut Kyodo News, peluang Ishiba semakin tipis apabila semua parti pembangkang utama menolak untuk menyertai Parti Demokratik Liberal (LDP) dan rakan gabungannya, Komeito dalam membentuk pakatan lebih luas.

    Gabungan parti pemerintah kini kehilangan kawalan majoriti dalam kedua-dua dewan Parlimen iaitu Dewan Kaunselor dan Dewan Perwakilan, satu keadaan yang jarang berlaku dalam politik pascaperang Jepun. Sokongan pembangkang kini menjadi lebih penting untuk meluluskan rang undang-undang dan belanjawan.

    LDP dan Komeito gagal mencapai sasaran awal mereka untuk memenangi sekurang-kurangnya 50 daripada 125 kerusi yang dipertandingkan bagi mencapai ambang majoriti dalam Dewan Kaunselor. LDP dilihat kehilangan sokongan dalam kalangan pengundi konservatif apabila parti populis berhaluan kanan, Sanseito, mula muncul sebagai alternatif.

    Walaupun memperjuangkan slogan ‘Japanese First’ dan agenda dasar nasionalis yang menyasarkan warga asing, kekuatan Sanseito dalam Dewan Kaunselor meningkat melepasi 10 kerusi, tahap yang membolehkannya mengemukakan rang undang-undang di dewan berkenaan.

    Pilihan raya itu dilihat sebagai petunjuk keyakinan pengundi terhadap kerajaan minoriti yang baru beberapa bulan memerintah, di tengah-tengah rasa tidak puas hati terhadap isu kenaikan harga barang, pertumbuhan gaji yang tidak mencukupi dan kemajuan terhad dalam rundingan berkaitan tarif daripada Amerika Syarikat.

    “Kita perlu menerima keputusan ini dengan rendah hati,” kata Ishiba dalam satu program televisyen, sambil menambah bahawa LDP mesti memenuhi tanggungjawabnya sebagai parti pemerintah. – Bernama/Kyodo

    Shigeru Ishiba semasa sidang media di ibu pejabat Parti Liberal Demokratik (LDP), di Tokyo hari ini.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda