BANGKOK, 25 DIS – Parti Progresif Move Forward Thailand, yang memenangi pilihan raya tahun ini tetapi tidak mendapat tempat dalam kerajaan, berkata hari ini bahawa mereka yakin tentang kes mahkamah yang menyiasat ikrar kempen untuk memperbaharui undang-undang penghinaan diraja.
MFP memenangi kebanyakan kerusi dalam pemilihan Mei, tetapi pemimpin ketika itu, Pita Limjaroenrat disekat daripada menjadi perdana menteri oleh pasukan konservatif di dewan atasan parlimen.
Ikrar parti itu untuk memperbaharui undang-undang lese-majeste yang ketat di Thailand menakutkan senat yang kebanyakannya pro-raja, pro-tentera, yang ahlinya dilantik oleh junta lepas.
Mahkamah Perlembagaan sedang mempertimbangkan petisyen yang berhujah bahawa ikrar MFP untuk memperbaharui undang-undang lese-majeste merupakan percubaan untuk menggulingkan sistem raja berperlembagaan.
Bekas pemimpin MFP, Pita, yang menge-tuai parti itu dalam pilihan raya tetapi telah meletakkan jawatan, memberikan keterangan dalam perbicaraan hari ini dan berkata ia berjalan dengan lancar.
“Jika awda melihat skop undang-undang dan tuduhan, keadaan paling teruk ialah Mahkamah Perlembagaan akan meminta kami menghentikan prosiding (berkempen untuk meminda undang-undang),” kata Pita, menolak cadangan bahawa parti itu berisiko sedang dibubarkan.
Mahkamah berkata ia akan mengumumkan keputusannya dalam kes itu pada 31 Januari.
Pemimpin parti semasa, Chaithawat Tulathon berkata mereka yakin dasar itu tidak melanggar undang-undang.
MFP mendapat sokongan daripada golongan muda dan bandar Thailand yang letih dengan hampir sedekad pemerintahan tentera untuk memastikan kemenangan mengejut dalam pilihan raya pada bulan Mei. – AFP


