Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Pengajian Siswazah (PPS), baru-baru ini telah membubarkan Persatuan Akademik Siswazah (PAS) Sesi Akademik 2022/2023 dan melantik lima ahli baharu bagi sesi 2023/2024.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di universiti berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa PAS dibentuk sebagai wadah untuk mewujudkan satu pasukan pelajar yang terdiri daripada kalangan siswazah untuk bekerjasama secara aktif dalam menghidupkan pelbagai kegiatan ilmiah yang dianjurkan oleh UNISSA amnya dan PPS khasnya secara teratur dan terancang.
Majlis rasmi pembubaran ahli PAS lama dan lantikan ahli-ahli baharu berkenaan merupakan kali ketiga pernah diadakan.
Pelantikan telah dilakukan menerusi proses pengundian terbuka yang dikendalikan oleh PPS untuk suatu tempoh yang ditetapkan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah PPS, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku pengerusi majlis serta penolong-penolong rektor dan pegawai-pegawai utama UNISSA.
Majlis diisi dengan pengumuman keputusan undian dan penyerahan sijil penghargaan ahli PAS Sesi Akademik 2023/2024, seterusnya penyerahan surat lantikan kepada ahli-ahli baharu.