Oleh Raz AS –
Penggunaan umpan tiruan jenis softplastic semakin mendapat tempat di kalangan pemancing pada masa kini. Ini kerana harganya yang jauh lebih murah dan penggunaannya yang versatil jika dibandingkan dengan umpan tiruan berbadan keras.
Secara amnya terdapat dua jenis softplastic yang boleh didapatkan di pasaran iaitu jenis pre-rigged yang yang mana di badannya sudah terpasang jighead di dalamnya, manakala satu lagi jenis yang perlu dipasang sendiri oleh pemancing.
Bagi pemancing yang baharu ingin berjinak-jinak menggunakan softplastic, jenis pre-rigged merupakan pilihan yang baik kerana saiz matakail dan beratnya memang sudah direka khas bersesuaian dengan saiz softplastic itu sendiri.
Walau bagaimanapun, jenis pre-rigged ini mengehadkan pemancing untuk memilih sendiri berat jighead yang digunakan berdasarkan keperluan ketika berada di lapangan pancing seperti kedalaman air dan kekuatan arus.
Oleh yang demikian untuk memenuhi keperluan semasa pemancing, ketika mereka berada di lapangan pancing yang sentiasa berubah-ubah, ramai pemancing lebih suka memilih untuk menggunakan softplastic ‘kosong’ yang perlu dipasang dengan mata kail atau jighead oleh pemancing sendiri.
Meskipun begitu, memasang jighead ke softplastic boleh menjadi sesuatu yang sedikit rumit bagi pemancing yang baru berjinak-jinak dengannya jika mereka tidak mempelajari atau menerima tunjuk ajar tentang kaedah pemasangan yang betul.
Mata kail atau jighead yang dengan cara yang salah boleh mencacatkan aksi renangan softplastic, sekali gus menyebabkan ikan susah untuk terpedaya daripada menyambar umpan yang dipersembahkan.


1. SAIZ MATA KAIL YANG SESUAI
Sebelum memasang jighead pada softplastic perkara utama yang perlu dipertimbangkan adalah memadankan jighead yang mempunyai saiz mata kail yang bersesuaian dengan saiz softplastic tersebut. Jighead yang berlainan jenama mungkin akan mempunyai sistem penomboran saiz matakail yang berbeza mengikut pengilang, pemancing perlu mengetahui ukuran saiz mata kail yang bersesuaian dengan saiz softplastic tersebut. Sebagai contoh softplastic 2 inci dipadankan bersama jighead dengan mata kail bernombor 1 atau 2 dan softplastic 3 inci dengan mata kail bersaiz 2/0 atau 3/0.
2. PASTIKAN KEDUDUKAN BETUL
Pastikan kedudukan softplastic dalam keadaan yang betul sebelum mata kail ditancap pada badannya. Bagi softplastic jenis paddle-tail atau juga dikenali sebagai ‘ekor T’ pastikan hujung ekornya menunjuk ke bawah, kerana ekornya sememangnya telah direka untuk menghasilkan aksi renangan dengan optimal dalam posisi tersebut. Berlainan dengan jenis straight-tail dan curly-tail yang mana ia masih boleh berfungsi dengan baik meski digunakan dalam keadaan badannya yang terbalik.
3. ANGGARKAN DI MANA MATA KAIL AKAN KELUAR
Sebelum memasukkan mata kail ke dalam softplastic, gandingkan jighead dengan badan softplastic bersebelahan antara satu sama lain untuk mengetahui di mana hujung mata kail tersebut akan keluar dari badannya. Sebaik-baiknya tandakan tempat tersebut agar tidak terlupa sama ada dengan menggunakan pen atau melukakan sedikit bahagian badan softplastic tersebut menggunakan hujung mata kail.
4. TANCAP MATA KAIL DI TENGAH-TENGAH
Tancapkan pada bahagian depan kepala dan pastikan mata kail sentiasa berada di tengah-tengah badan softplastic, kerana badan yang bengkok boleh mencacatkan aksi renangannya. Setelah hujung mata kail sampai pada bahagian yang ditanda tadi barulah mata kail dikeluarkan dari badannya di bahagian tersebut.
5. ULANG SEMULA PROSES JIKA PERLU
Jika badan softplastic yang pasang pada jighead bengkok atau mata kail ditancap keluar terlalu awal keluarkan matakail dan ulang semula proses dari awal sehingga sempurna.

