BREST, PERANCIS, 3 JULAI – Seorang novelis Amerika Syarikat (AS) berusia 80 tahun dan suaminya merupakan antara beberapa individu yang mungkin dihadapkan ke mahkamah di Perancis berhubung penjualan jongkong emas secara haram yang dirompak daripada bangkai kapal abad ke-18, selepas pendakwa Perancis meminta kes tersebut dibawa ke perbicaraan.
Eleonor Gay Courter dan suaminya yang berusia 82 tahun, Philip, dituduh membantu menjual jongkong emas tersebut secara dalam talian bagi pihak seorang penyelam Perancis yang mencurinya beberapa dekad lalu, namun pasangan itu menafikan sebarang pengetahuan mengenai salah laku tersebut.
Le Prince de Conty, sebuah kapal dagang Perancis yang menjalankan perdagangan dengan Asia, telah karam di pesisir pantai Brittany dalam cuaca ribut pada musim sejuk tahun 1746.
Beberapa tahun kemudian, pada 2018, ketua jabatan arkeologi dasar laut Perancis, Michel L’Hour, mengesan satu penjualan mencurigakan melibatkan lima batang jongkong emas di laman web sebuah rumah lelongan AS.
Beliau kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa AS bahawa beliau percaya jongkong itu berasal dari kapal Prince de Conty dan pihak AS telah merampas emas tersebut sebelum memulangkannya kepada Perancis pada tahun 2022. – AFP


