DUBAI, 15 OKT – Pasangan dari mana-mana negara kini boleh berkahwin menggunakan aplikasi kerajaan Abu Dhabi tanpa perlu menjejakkan kaki ke negara tersebut, beritahu ketua projek itu kepada AFP kelmarin.
Konsep perkahwinan dalam talian masih berada pada peringkat awal, dengan Ukraine melancarkan perkhidmatan tahun lalu membolehkan pasangan yang terpisah akibat perang melangsungkan perkahwinan melalui aplikasi kerajaan mereka.
Kesatuan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pernah membenarkan upacara dalam talian untuk penduduk tempatan semasa pandemik COVID-19.
Namun, versi baharu aplikasi TAMM kerajaan Abu Dhabi mempunyai matlamat yang lebih luas, menurut Mohamed Al Askar, ketua projek tersebut.
“Ia terbuka kepada semua. Sesiapa sahaja yang ingin berkahwin di Abu Dhabi, tanpa mengira kewarganegaraan, boleh menggunakan perkhidmatan ini secara dalam talian,” katanya kepada AFP ketika menghadiri pameran teknologi Gitex di Dubai.
“Orang ramai boleh melengkapkan keseluruhan proses secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mana-mana lokasi fizikal. Kami antara yang pertama melaksanakan perkhidmatan sebegini.” – AFP


