Tuesday, April 22, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasangan cekik anak damit

    SUWON/GEOJE, 2 JULAI – Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan hari ini atas tuduhan mencekik anak damit mereka sehingga mati di bandar Geoje, Korea Selatan, menurut polis.

    Seorang wanita berusia 30an dan pasangannya berusia 20an didakwa mencekik anak damit berusia lima hari sehingga mati dan menanam mayat anak damit malang itu di kawasan pergunungan di Geoje, 331 kilometer di selatan Seoul.

    Kedua-dua suspek sebelum ini mendakwa mereka menemukan jasad anak damit itu pada 9 September lalu dan menanam mayat anak damit itu pada hari berikutnya, tetapi kemudian menukar pengakuan mereka dan mendakwa anak damit itu telah dihanyutkan di sungai.

    Ia adalah siri kes penderaan terhadap kanak-kanak terbaharu selepas kerajaan melancarkan siasatan untuk memeriksa kesejahteraan lebih 2,000 anak damit tidak berdaftar yang dilahirkan sejak 2015, ekoran penemuan dua mayat anak damit baru lahir di dalam peti sejuk bulan lepas.

    Perbicaraan kes terhadap seorang lagi wanita yang dituduh membiarkan anak damitnya mati kebuluran pada 2019 sepatutnya berlangsung di Mahkamah Daerah Suwon, 30km selatan Seoul hari ini, tetapi suspek telah mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

    Wanita berusia 20an itu ditahan pada Jumaat atas tuduhan mengabaikan anaknya dan membiarkan anaknya mati kelaparan dengan tidak memberinya makan selama tiga hari di rumahnya di Daejeon, 139 kilometer di selatan Seoul, selepas melahirkan anak itu pada April 2019.

    Mayat anak damit itu masih belum ditemui, kata polis.

    Pihak berkuasa pada mulanya melakukan siasatan di kawasan pergunungan berhampiran rumah suspek di Daejeon untuk mengesan mayat anak damit itu selepas dia mendakwa menanamnya berhampiran rumah lamanya.

    Dia telah berulang kali mengubah ceritanya, memberitahu polis lokasi yang berbeza. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda