Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman terserempak buaya tidak patahkan semangat buru ikan asing

    KUALA KANGSAR, 20 OKT – Pengalaman terserempak buaya ketika memburu ikan pendatang di Sungai Klang, Selangor menjadi antara detik paling mencemaskan bagi seorang lelaki yang telah tiga tahun menumpukan usaha membanteras spesies invasif seperti ikan bandaraya.

    Haziman Amli Hasan, 41, berkata detik berdepan haiwan liar itu menjadi peringatan bahawa aktiviti memburu ikan asing bukan tugas mudah serta perlu peka terhadap keselamatan diri.

    “Pada ketika itu, saya ditemani lima rakan lain sedang menjala (ikan bandaraya) di tebing dan tiba-tiba saya ternampak kelibat buaya muncul pada jarak kira-kira tiga meter.

    “Mujurlah buaya itu tidak menyerang. Saya beritahu rakan-rakan supaya beredar dan mencari lokasi lain,” katanya yang juga bekas pegawai tentera kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Penutup Fiesta Ikan Perak 2025 di Dataran Victoria baru-baru ini.

    Terdahulu, Haziman Amli diumum juara keseluruhan Grand Prix Memburu Ikan Asing Perak 2025, seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

    Haziman Amli Hasan (kanan) menerima replika cek juara keseluruhan Grand Prix Memburu Ikan Asing di Jambatan Victoria pada 19 Oktober. – Bernama

    Beliau yang juga Setiausaha Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) Malaysia berkata selain haiwan liar, mereka turut berdepan risiko kepala air, arus deras dan jala tersangkut pada batu, terutama ketika meneroka kawasan sungai yang belum pernah dijejaki.

    “Kalau sungai di sekitar Selangor atau Kuala Lumpur, kami dah boleh baca arusnya tetapi di Sungai Kinta, Ipoh umpamanya, kami pernah hampir terperangkap dalam kejadian kepala air sewaktu aktiviti memburu ikan asing. Nasib kami baik kami sempat naik ke tebing untuk menyelamatkan diri,” katanya.

    Meskipun melalui pelbagai cabaran, bapa kepada tiga cahaya mata berasal dari Kelantan itu mengakui puas melakukan aktiviti berkenaan lebih-lebih lagi dengan kejayaan menghapuskan lebih 57 tan metrik ikan asing yang mendiami beberapa batang sungai di negara ini sejak 2022. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda