Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasangan diraja Sepanyol kembali lawat Chiva

    CHIVA, 19 NOV – Raja Felipe VI dan Permaisuri Letizia mengadakan kunjungan semula ke kawasan yang teruk dilanda banjir hari ini, selepas lawatan sebelumnya menyaksikan insiden kekecohan, di mana mangsa banjir melempar lumpur dan melontarkan kata-kata kesat terhadap pasangan diraja itu.

    Negara Eropah itu masih lagi terkesan akibat bencana yang menimpa pada 29 Oktober lalu yang telah meragut 227 nyawa dan menimbulkan kemarahan meluas terhadap pemimpin yang dianggap gagal menguruskan krisis tersebut dengan baik.

    Kemarahan itu memuncak ketika pasangan diraja melawat Paiporta pada 3 November yang menjadi tumpuan dunia, di mana penduduk yang marah melaungkan kata ‘pembunuh’ sambil melempar lumpur dan objek ke arah pasangan itu, ketika mereka bergelut untuk bercakap dengan orang ramai, manakala Perdana Menteri Pedro Sanchez terpaksa dipindahkan dengan tergesa-gesa.

    Namun penduduk di bandar Chiva, sebuah bandar di wilayah Valencia yang turut terjejas teruk akibat banjir, menyambut kedatangan pasangan diraja itu dengan tepukan gemuruh dan laungan ‘daulat raja!’ ketika mereka tiba di dewan bandar hari ini, menurut wartawan AFP.

    Chiva dipenuhi orang ramai, media dan polis semasa menyambut ketibaan pasangan diraja itu, yang diiringi oleh pemimpin wilayah Valencia, Carlos Mazon dan menteri kerajaan, Angel Victor Torres.

    “Mereka sepatutnya datang lebih awal, jika mereka adalah pemimpin negara… tetapi akhirnya, raja juga mempunyai kuasa terhad,” kata seorang penduduk Chiva, Javier Dominguez, 56.

    Istana Diraja sebelum ini mengambil langkah merahsiakan jadual lawatan pasangan diraja itu susulan insiden di Paiporta.

    Pasangan diraja Sepanyol itu kembali untuk menunaikan janji mereka dan memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir di Chiva, kata profesor undang-undang perlembagaan di Universiti Valencia, Vicente Garrido. – AFP

    Raja Felipe VI bercakap dengan seorang wanita sambil diperhati Permaisuri Letizia semasa lawatan mereka di Chiva, berhampiran Valencia, Sepanyol, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda