BANDA ACEH, 4 JUN – Seorang lelaki dan wanita telah dihukum sebat sebanyak 100 kali setiap seorang di wilayah konservatif Aceh hari ini, selepas mereka didapati bersalah melakukan hubungan seks luar nikah oleh sebuah mahkamah yang beroperasi di bawah undang-undang Islam yang ketat.
Hubungan seksual antara pasangan belum berkahwin adalah dilarang di Aceh, yang turut melaksanakan undang-undang syariah.
Indonesia telah mengharamkan hubungan seks luar nikah menerusi pindaan kepada Kanun Jenayah terbaharu pada tahun 2022, namun undang-undang itu hanya akan berkuat kuasa pada tahun hadapan.
Menurut kenyataan wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian, kedua-dua pesalah telah disebat secara berperingkat iaitu 10 kali sebatan dengan rotan yang disaksikan oleh sekumpulan kecil orang ramai di sebuah taman, Banda Aceh dan wanita tersebut telah disebat oleh seorang pegawai wanita.
Manakala, tiga lagi pesalah turut disebat sebanyak 49 kali secara keseluruhan atas dakwaan berjudi dan meminum arak.
“Hari ini kita melaksanakan hukuman sebat terhadap pesalah zina, pengambilan alkohol dan perjudian dalam talian,” kata Datuk Bandar Banda Aceh, Illiza Sa’aduddin Djamal kepada wartawan.
Tambahnya, “Ini menjadi pengajaran moral kepada masyarakat secara keseluruhan. Hukuman sebat ini menjadi pintu taubat bagi mereka.”
Perkhidmatan perubatan disediakan untuk semua pesalah yang disabitkan dan kumpulan hak asasi manusia turut mengecam hukuman itu sebagai kejam dan lapuk. – AFP


