NEW YORK, 15 MEI – Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah menahan sepasang suami isteri yang dituduh memaksa seorang remaja untuk tinggal di dalam kurungan anjing dan menderanya selama bertahun-tahun, kata mereka kelmarin berikutan dia melarikan diri dari kurungan minggu lalu.
Pendakwa Raya di Camden County, New Jersey, berkata pasangan itu ditahan dan dituduh kerana mengurung serta mendera kanak-kanak yang tinggal di rumah mereka selama lebih tujuh tahun.
“Mangsa berkata kepada detektif bahawa Brenda Spencer, 38, dan Branndon Mosley, 41, telah menderanya sejak 2018,” kata Pendakwa Raya dan polis tempatan dalam satu kenyataan bersama.
“Pada masa itu, dia telah dikeluarkan dari sekolah dalam gred enam mengikut budi bicara Spencer dan dikurung di rumahnya. Dia menyatakan tidak lama selepas itu, dia terpaksa tinggal di dalam kurungan anjing selama kira-kira satu tahun dan dikeluarkan secara berkala,” tambahnya.
Berikutan dia melarikan diri pada 8 Mei, remaja perempuan itu, yang tidak dinyatakan nama dan kini berusia 18 tahun, meminta bantuan daripada jiran dan seterusnya mendedahkan telah didera bertahun-tahun.
Spencer dan Mosley dituduh dengan pelbagai jenayah termasuk penculikan dan serangan.
Remaja perempuan itu terpaksa hidup dalam keadaan kotor bersama banyak anjing, chinchilla dan haiwan lain,” menurut kenyataan itu. – AFP
