Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasangan Filipina langsungkan perkahwinan meski banjir

    MANILA, 23 JULAI – Sepasang kekasih dari Filipina tidak membiarkan ribut tropika kuat menghalang mereka daripada melangsungkan perkahwinan di dalam sebuah gereja yang dilanda banjir, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Jao Verdillo dan Jamaica Aguilar meredah air sedalam kira-kira 0.3 meter di dalam Gereja Barasoain di Malolos City, wilayah Bulacan, utara Manila untuk majlis perkahwinan mereka kelmarin.

    “Tiada apa yang dapat menghalang kami,” kata Aguilar kepada ABS-CBN News. “Kami telah lama menantikan saat ini,” tambahnya. “Ini hanya banjir. Masih banyak lagi yang perlu kami harungi bersama,” tambahnya.

    Pasangan itu telah menempah gereja berkenaan untuk perkahwinan mereka sejak dua tahun lalu dan telah mengambil cuti daripada kerja untuk majlis itu.

    Keluarga dan rakan-rakan turut meredah banjir, malah ada yang menanggalkan kasut bagi mengelakkannya basah. Verdillo dilihat melipat seluarnya hingga ke paras lutut manakala Aguilar berjalan di laluan utama gereja dengan hujung gaunnya terendam dalam air.

    Sebahagian besar kawasan di Filipina dinaiki air akibat hujan lebat yang dibawa oleh ribut tropika Wipha. Kira-kira 12 orang dilaporkan maut dalam kejadian banjir dan insiden lain akibat cuaca buruk itu, menurut polis.

    Kira-kira 1.2 juta orang terjejas akibat ribut Wipha dan hujan monsun, termasuk lebih 286,000 penduduk yang terpaksa berpindah dan berlindung di pusat pemindahan. – Bernama

    Para tetamu menghadiri majlis perkahwinan di Gereja Barasoain yang dilanda banjir di Malolos, wilayah Bulacan, Filipina pada 22 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda