MAKASAR, INDONESIA, 28 APRIL – Komunikasi golongan OKU menjadi sukar apabila pandemik COVID-19 menyerang kerana terpaksa memakai penutup mulut dan hidung, namun tukang jahit Indonesia berjaya mencari jalan penyelesaian, menerusi satu ciptaan unik.
Penutup mulut dan hidung telus warna, ciptaan sepasang suami isteri yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran di Makasar, kepulauan Sulawesi itu diperbuat menggunakan plastik jarang bagi membantu golongan itu berkomunikasi dengan lebih baik.
“Sejak pandemik bermula, semua orang menggunakan penutup mulut dan hidung. Untuk OKU pendengaran, kami tidak dapat memahami apa yang diperkatakan kerana tidak dapat melihat gerak bibir.
“Terdapat banyak salah faham yang timbul kerana itu,” kata Faizah Badaruddin, 52 tahun.
Faizah dan suaminya menjadikan jahitan sarung kusyen, cadar dan langsir sebagai mata pencarian. Namun, apabila permintaan semakin berkurangan akibat COVID-19, beliau mula mempelajari cara menghasilkan penutup mulut dan hidung untuk OKU pendengaran, menerusi video dalam talian.
Sejak awal bulan ini, perusahaan kecil itu mampu menghasilkan 24 penutup mulut dan hidung telus warna setiap hari dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.
Ia dijual antara 10,000 hingga 15,000 rupiah setiap satu. – AFP
