Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasangan panda gergasi baharu buat penampilan sulung di Sepanyol

    MADRID, 31 MEI – Pelawat Akuarium Zoo Madrid di Sepanyol diperkenalkan hari ini kepada pasangan panda gergasi dari China. Ketibaan haiwan baharu itu disambut dalam satu majlis rasmi yang dihadiri pihak berkuasa dan pakar dari kedua-dua negara.

    Panda jantan, Jin Xi dan panda betina, Zhu Yu, kedua-duanya dilahirkan pada 2020, tiba bulan lepas di zoo itu berikutan pembaharuan perjanjian untuk perlindungan panda gergasi dengan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China. Mereka dijangka kekal di Sepanyol untuk 10 tahun akan datang.

    Pembaharuan itu diumumkan Februari lepas, apabila taman itu mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga panda lima anggota, yang kini menetap di Pangkalan Penyelidikan Chengdu Pembiakan Panda Gergasi, di wilayah Sichuan, barat daya China.

    Selepas ketibaan pasangan baharu itu pada 29 April lepas, mereka melengkapkan tempoh kuarantin yang lancar. Haiwan tersebut telah diawasi oleh pasukan teknikal termasuk penjaga dan doktor haiwan dari Chengdu yang akan berada di Madrid untuk beberapa bulan akan datang untuk memudahkan penyesuaian mereka, kata zoo itu.

    Seorang pelawat berusia 13 tahun bernama Martin, memberitahu Xinhua bahawa dia sangat berminat dengan panda kerana mereka ‘adalah spesies terancam yang perlu kita pelihara.’ “Saya suka bagaimana mereka memanjat pokok dan cara mereka makan buluh,” katanya.

    Dua ibu muda, yang dikenali sebagai Cristina dan Nazare, berkata mereka telah melawat panda beberapa kali dan teruja untuk menunjukkan Jin Xi dan Zhu Yu kepada anak-anak mereka. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda