PERANCIS, 22 OKT – Pasangan dari Bourgoin-Jallieu di saman oleh seorang jiran yang mendakwa ayam jantan milik mereka, Ricco, mengganggu ketenteraman dengan kokokannya yang kuat. Pemilik ayam jantan Bantam itu, Franck, dijadualkan hadir ke mahkamah pada Januari tahun depan bagi menjawab tuduhan ini.
Menurut laporan Odditycentral, jiran yang membuat aduan menyatakan bahawa kokokan ayam jantan tersebut menyebabkan gangguan tidur dan menjejaskan kualiti hidup mereka. Ayam jantan tersebut berkokok tidak kira waktu, siang atau malam, walaupun pemiliknya menyangkal dakwaan tersebut. Menurut Franck, pintu reban Ricco dikawal oleh sistem automatik yang hanya membenarkan pintu dibuka pada pukul 8:30 pagi pada musim sejuk dan pukul 9 pagi pada musim panas. Dia turut menegaskan bahawa ayam jantan itu hanya berkokok beberapa kali setiap pagi dan sekali-sekala pada waktu siang.
Pasangan tersebut telah menetap selama 25 tahun dan berpindah dari bandar untuk menikmati kehidupan desa. Mereka terkejut apabila jiran yang baru berpindah pada 2021 membawa kes itu ke mahkamah setelah perbincangan di balai bandar gagal mencapai penyelesaian.
Franck menyatakan bahawa dia telah bercakap dengan semua jiran kecuali pihak pendakwa dan mendapati tiada sesiapa yang terganggu dengan kokokan Ricco. Malah, sebahagian daripada mereka menikmati bunyi kokokan tersebut, yang dianggap sebahagian daripada kehidupan desa.
Kes ini mendapat perhatian meluas kerana ia merupakan kes ketiga seumpamanya selepas kes ayam jantan Maurice dan Caruso, yang juga mencetuskan pertikaian serupa di Perancis. Ricco kini mendapat sokongan daripada orang ramai melalui laman sokongan di media sosial, di mana ramai yang menyarankan pihak yang tidak suka dengan bunyi kokokan ayam jantan tersebut supaya berpindah. – Agensi