NICE, 4 APRIL – Sepasang suami isteri Perancis, yang berkongsi apartmen mereka dengan hampir 160 ekor kucing dan tujuh ekor anjing, kelmarin dikenakan hukuman penjara yang ditangguhkan setahun dan larangan membela haiwan peliharaan.
Mahkamah Jenayah Nice memutuskan lelaki dan wanita itu ‘bersalah atas kesalahan pengabaian, berdasarkan keadaan kesihatan haiwan yang sangat teruk itu.’
Ia juga mengarahkan pasangan tersebut membayar lebih 150,000 euro sebagai ganti rugi kepada persatuan kebajikan haiwan.
Pasangan itu tinggal bersama sejumlah 159 ekor kucing dan tujuh ekor anjing di sebuah pangsapuri seluas 80 meter persegi di Nice.
Pada tahun 2023, pegawai polis yang bertindak balas terhadap panggilan jiran menemui berpuluh-puluh haiwan yang dehidrasi dan kekurangan zat makanan dipenuhi parasit dan luka di setiap bilik di rumah pasangan itu.
Di dalam bilik mandi, penyiasat juga menemui bangkai sekurang-kurangnya dua ekor kucing dan dua ekor anak anjing.
Pada akhir perbicaraan, pemilik haiwan itu, seorang wanita berusia 68 tahun, berkata dia tidak berniat untuk ‘mengaku kalah.’
Dia menegaskan keadaan apartmen yang rosak dan keadaan haiwannya itu hanya sementara.
Tambahnya lagi, dia sedang mencari penyelesaian tetapi mendapati dirinya tidak terdaya kerana jangkitan yang menjejaskan kucing dan gelombang panas yang menyebabkannya sakit. – AFP


