LILLE, 5 SEPT – Sepasang suami isteri di Perancis memelihara Louise, iaitu seekor harimau kumbang hitam, di sebuah apartmen di utara Perancis, mencetuskan panik apabila haiwan itu dilihat berkeliaran di bumbung rumah berdekatan.
Pasangan itu dijatuhkan hukuman penjara yang digantung kelmarin, kerana memelihara haiwan liar secara haram, meskipun mereka mempertahankan haiwan yang digelar sebagai Louise itu dianggap seperti anak mereka sendiri.
Keputusan mahkamah itu dibuat susulan insiden pada September 2019, apabila harimau kumbang yang masih kecil itu dilihat berada di atas bumbung di Armentieres selepas terlepas keluar melalui tingkap rumah pasangan tersebut.
Pihak berkuasa berjaya menangkap semula harimau kumbang itu, yang mempunyai berat antara 25 hingga 30 kilogram, dengan menembaknya menggunakan damak pelali selepas ia masuk ke sebuah rumah.
Mahkamah di bandar Lille telah menjatuhkan hukuman penjara yang digantung selama 18 bulan serta denda 10,000 euro terhadap lelaki berusia 41 tahun itu.
Manakala, wanita berusia 41 tahun itu pula telah dijatuhkan hukuman penjara empat bulan serta larangan memiliki haiwan selama dua tahun.
Xavier Bacquet, wakil daripada sebuah yayasan lain, menyifatkan kes itu sebagai penderaan kerana keperluan fisiologi haiwan tersebut tidak dapat dipenuhi dalam kurungan.
Pemiliknya turut memberitahu mahkamah, haiwan itu telah dibelinya dengan harga 2,500 euro daripada sebuah komuniti pengembara.Selepas ditangkap, harimau kumbang itu telah dibawa ke Zoo Maubeuge, namun sempat dicuri beberapa hari kemudian. – AFP


