LONDON, 29 APRIL – Pasangan Perdana Menteri Britain Boris Johnson, Carrie Symonds hari ini melahirkan seorang ‘anak damit lelaki sihat’ di sebuah hospital di London, kata jurucakap untuk pasangan itu.
Berita itu dikatakan mengejutkan kerana Symonds, 32, tidak dijangka bersalin untuk beberapa minggu lagi, namun beliau dikatakan dalam keadaan ‘sihat.’ Kelahiran berlaku beberapa hari selepas Johnson, 55, kembali bekerja setelah dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti koronavirus, termasuk tiga malam dalam wad rawatan rapi.
“Perdana menteri dan Symonds berasa gembira untuk mengumumkan kelahiran anak damit lelaki di hospital London pada awal pagi ini,” kata jurucakap.
“Ibu dan anak berada dalam keadaan baik.” Perdana menteri dan Symonds ingin mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pekerja wad bersalin NHS.”
Pengumuman itu menjelaskan kenapa pegawai Downing Street keberatan mengesahkan Johnson akan hadir pada sesi soal jawab mingguan beliau bersama ahli parlimen.
Setiausaha Luar Dominic Raab, yang menjadi wakil beliau semasa dimasukkan ke hospital, dijangka mengambil tempatnya lewat hari ini. Johnson dipercayai mempunyai sekurang-kurangnya lima orang anak, termasuk empat dengan isteri keduanya, Marina Wheeler, yang diceraikannya pada 2018. – AFP