Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasangan suami isteri cipta produk kecantikan tempatan

    Oleh Yusrin Junaidi

    ‘Tanpa keberanian, mimpi tidak akan bermakna’ itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan kecekalan pasangan suami isteri, Dayang Amal Nazurah binti Rahman dan Awang Nasrul Nassar untuk mengeluarkan produk penjagaan kesihatan dan kecantikan sendiri, dikenali sebagai Skin Globe Premium Collagen.

    “Tiada apa yang mudah dalam dunia ini. Jika kita mahukan sesuatu, kita harus memberanikan diri dan cabar kemampuan diri,” ujar Dayang Amal Nazurah ketika dihubungi Media Permata baru-baru ini.

    Dengan menggunakan cogan kata A New Era of Beauty & Wellness iaitu fasa generasi yang baharu untuk kecantikan dan kesihatan, mencerminkan komitmen jenama tersebut dalam mengiktiraf keberanian menjadi jenama yang unik dalam rangkaian jenama penjagaan kesihatan yang optimum.

    Ketika bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia perniagaan, Dayang Amal Nazurah berkata, ini bukanlah kali pertama beliau menceburi dalam bidang tersebut kerana sudah bergiat aktif dalam perniagaan makanan, baju dan banyak lagi.

    “Bidang produk kecantikan ini merupakan langkah terbesar buat kami. Kami akan mengetengahkan produk ini di pasaran Brunei terlebih dahulu dan Insya-Allah akan dikembangkan ke negara jiran.

    Dayang Amal Nazurah dan Awang Nasrul Nassar mengeluarkan produk penjagaan kesihatan dan kecantikan sendiri, dikenali sebagai Skin Globe Premium Collagen.
    Buat ketika ini Dayang Amal Nazurah dan suami menjual produk mereka melalui laman media sosial.
    Dayang Amal Nazurah melakukan pembungkusan produk yang dijual.
    Skin Globe Premium Peptides Collagen me- rupakan produk pertama yang akan dijual.

    “Kami berharap orang ramai akan dapat mengenali dan menyukai produk ini, kerana antara kebaikan produk ini ialah mencantikkan kulit muka, menghindar jerawat dan mengetatkan kulit.

    “Selain itu ia juga dapat meningkatkan pergerakan tulang sendi, malah boleh meningkatkan tenaga kerana antara kandungannya adalah makanan sunah Rasulullah seperti habbatus sauda dan kurma,” kongsinya.

    Perkenal produk di pasaran tempatan

    Dayang Amal Nazurah mempunyai misi tersendiri apabila membuat keputusan untuk memperkenalkan jenama tersebut ke pasaran Brunei.

    “Saya mahu mengeluarkan produk kecantikan jenama tempatan yang mempunyai kualiti dan standard antarabangsa, namun masih boleh dijual dengan harga yang mampu dimiliki.

    “Rangkaian produk ini juga disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana hinggalah kepada mereka yang berpendapatan tinggi. Harga jualan bagi siri ini amat berpatutan dan produk berkenaan dikeluarkan di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual.

    Awang Nasrul Nassar berkata, produk pertama yang akan dijual adalah Skin Globe Premium Peptides Collagen. Jelasnya, buat masa ini mereka masih lagi menunggu sijil kebenaran daripada Kementerian Kesihatan, namun mereka sudah mendaftarkan produk mereka bagi Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

    Menyentuh mengenai ilham usaha ini, pasangan itu menjelaskan bahawa ia bermula daripada tinjauan yang dilakukan melalui statistik pasaran di Brunei dan di luar negara.

    Tambahnya, setakat ini mereka cuma memiliki pejabat biasa dan cara penjualan produk melalui laman media sosial iaitu Instagram dan juga laman sesawang mereka.

    Sasar jualan 8,000 unit

    Ketika penulis bertanya mengenai sasaran jualan produk, mereka menetapkan untuk mencapai sebanyak 8,000 unit bagi tahun 2023 ini.

    “Kami berharap agar produk yang diusahakan akan diedarkan ke seluruh Asia dan juga Eropah.

    “Insya-Allah kami juga merancang membuka sebuah klinik kecantikan dan kesihatan.

    “Harapan kami adalah untuk memajukan ekonomi negara sebagai usahawan suami isteri dan membuka banyak peluang pekerjaan yang stabil kepada rakyat Brunei,” kata Dayang Amal Nazurah sambil menambah menjelang hujung bulan ini, pihaknya akan mengedarkan produknya ke seluruh negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda