SINGAPURA, 19 FEB – Seorang juruteknik teknologi maklumat berbangsa Cina dan isterinya yang membuka pakaian dan mendedahkan diri mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) didapati bersalah melakukan kekecohan di tempat awam dan didenda RM5,000 setiap seorang di mahkamah di Sepang, Selangor baru-baru ini, menurut laporan media Malaysia.
Xu Jianfeng, 27, dan isterinya Shi Qian, 28, mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin di mahkamah sesyen.
Xu membuka pakaian dan hanya berseluar dalam berhampiran pintu masuk pesawat di KLIA2 pada jam 11.33 pagi pada 9 Februari.
Manakala Shi, seorang guru, turut membuka pakaian dan mendedahkan dirinya di terminal menaiki pesawat yang berbeza di lapangan terbang yang sama pada jam 11.55 pagi pada hari yang sama.
Pasangan itu memberitahu media Malaysia bahawa mereka telah mengalami gangguan emosi selepas menjalani hipnosis sendiri.
Mereka mendakwa terlibat dalam satu permainan psikologi yang pelik apabila Xu mengenal pasti dirinya sebagai ‘raja alam semesta’ sementara Shi pula, ‘robot AI (kecerdasan buatan)’.
Selepas penahanan mereka di KLIA2 pada 9 Februari, mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.
Selepas mereka dilepaskan, Xu dan Shi meminta maaf melalui media tempatan atas kelakuan mereka dan menyebabkan penerbangan yang sepatutnya mereka naiki tertangguh.
Klip video yang tular menunjukkan pasangan itu diiringi keluar dari penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jieyang Chaoshan di wilayah Guangdong, China, selepas menyebabkan kekecohan di dalam pesawat.
Shi dilihat merungut-rungut secara tidak jelas dalam video itu.
Xu dan Shi dilaporkan bercuti di Malaysia mulai 5 Februari. Apabila mereka tidak pulang ke China pada 9 Februari seperti yang dijangkakan, salah seorang ahli keluarga mereka membuat pengumuman di platform media sosial Xiaohongshu atau RedNote untuk mencari maklumat tentang mereka. – ANN/The Straits Time
