Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasar Gantung, Tawau akan dibangunkan semula

    TAWAU, 16 Julai – Majlis Perbandaran Tawau (MPT) memberi jaminan akan membina semula Pasar Gantung di sini selepas sebahagian besar bangunan ikonik pelancongan itu musnah dalam kebakaran pada awal pagi semalam

    Presiden MPT, Alijus Sipil berkata jaminan itu diberikan selepas mendapat saranan pemimpin di Tawau agar pasar yang menempatkan 161 gerai perhiasan dan pakaian sebelum ini, dibangunkan di lokasi sama dan seterusnya kekal menjadi satu daripada produk pelancongan Tawau.

    “Kita akan cari alternatif untuk membangunkan semula Pasar Gantung ini, perkara itu akan diperincikan semula termasuk dari segi kos dan pembinaannya sudah pasti akan lebih baik dan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka di kediaman rasminya di sini.

    Terbaru, jumlah lot gerai di Pasar Gantung yang musnah terbakar meningkat kepada 77 gerai berbanding 64 yang dilaporkan sebelum ini dan sebanyak 84 gerai lagi berjaya diselamatkan pasukan bomba atas bantuan beberapa agensi lain termasuk polis dan jabatan air.

    Kejadian kebakaran itu turut merebak ke bangunan bersebelahan menyebabkan lima premis perniagaan serta sebuah hotel bajet turut terbakar.

    Gambar fail - Sebanyak 64 gerai di Pasar Gantung yang menjadi satu daripada ikon popular dalam kalangan pelancong dengan barangan kraf tangan, mutiara dan kain sarung, musnah dalam kebakaran lewat subuh pada 14 Julai lalu. – Bernama
    Gambar fail – Sebanyak 64 gerai di Pasar Gantung yang menjadi satu daripada ikon popular dalam kalangan pelancong dengan barangan kraf tangan, mutiara dan kain sarung, musnah dalam kebakaran lewat subuh pada 14 Julai lalu. – Bernama

    Dalam pada itu, Alijus berkata pihaknya telah mengenal pasti dua tapak kawasan sementara untuk menempatkan 77 peniaga yang gerai mereka musnah dalam kebakaran pada pukul 4:41 pagi itu.

    “Kawasan sementara yang dikenal pasti untuk penempatan peniaga gerai perhiasan adalah di kawasan tempat letak kereta di hadapan Parkwell manakala bagi peniaga gerai kain dan pakaian pula kita cuba tempatkan di kawasan tanah berhadapan Hotel Marco Polo, tetapi ini bergantung kepada kebenaran pemilik tanah itu,” katanya lagi.

    Sementara itu, katanya bagi peniaga yang gerai mereka tidak terjejas dalam kejadian itu pula, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dan semakan sistem pendawaian sebelum dibenarkan berniaga. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda