TOKYO – Sebuah unit ejen terlatih Jepun dilihat memasang cincin penghadang besi untuk menghalang sebarang ‘gangguan’ dari kawasan yang sangat luas di pasar ikan Tsukiji.
Operasi tersebut dilakukan dengan penuh teliti dan dalam keadaan sunyi, tanpa memberi sebarang amaran kepada ‘pemangsa’ yang dikehendaki.
Walaupun jumlahnya jauh lebih banyak, komander ketua unit itu yakin bahawa mereka mampu menumpaskan tentera musuh iaitu ribuan tikus yang dijangka keluar berkeliaran apabila pasar ikan yang terkenal di seluruh dunia itu akan ditutup pada bulan ini.
Pasar seluas 23 hektar (57 ekar) berhampiran daerah Ginza di Tokyo ini adalah rumah kepada puluhan ribu tikus, tertarik oleh sisa potongan ikan dan juga pembetung pasar itu yang berselirat, menurut pakar tikus, Tatsuo Yabe.
Selepas 83 tahun berlalu, pasar ikan terbesar dunia itu, yang juga merupakan tarikan pelancong utamanya yang begitu terkenal dengan lelongan tuna sebelum subuh, dijangka berpindah ke tempat kemudahan baharu di Toyosu, berada kira-kira 2.3 kilometer jauhnya dari kawasan dermaga.
Operasi pemindahan itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Sebanyak 900 perniagaan yang mengendalikan 480 jenis makanan laut bernilai AS$14 juta setiap hari, serta 270 jenis buah-buahan dan sayur-sayuran akan berpindah selama tempoh lima hari.
Beribu-ribu trak dan forklift akan mengambil bahagian dalam pemindahan itu, dengan bertan-tan sisa produk akan terhasil dalam proses tersebut.
“Ia mungkin akan mula bergerak beramai-ramai apabila melihat sesuatu yang luar biasa … Seminggu selepas pasar itu ditutup pada 10 Oktober nanti, di mana ia akan menjadi pertempuran utama,” kata pegawai kerajaan Tokyo yang memerintahkan operasi anti-tikus Tsukiji kepada AFP.








Untuk menghalang pembasmian mega itu dari Tsukiji, pegawai Tokyo, yang dibantu oleh penghapus tikus veteran, terlihat sibuk menyekat paip dan pembetung serta memasang penyumbat lubang di pagar-pagar dengan alat ‘corrugated sheets.’
Sebelum pasar itu ditutup, mereka akan membina tembok keluli tiga meter (10 kaki) yang tidak dapat ditembusi di sekitar tapak dan perlahan-lahan bergerak melalui perimeter itu untuk ‘menangkap’ rodensia, kata komander operasi itu, yang tidak mahu namanya disiarkan.
Di samping itu, mereka akan memasang 40,000 kepingan melekit untuk menangkap rodensia, bersama-sama dengan perangkap dan penggunaan 300 kilogram racun tikus.
Restoran dan pengurus bar di kawasan sekitar pasar berkenaan berada pada amaran merah bagi sebarang kemungkinan kemasukan bertalu-talu rodensia yang tidak dialu-alukan itu.
“Ini menakutkan,” kata pemilik daripada salah satu restoran di Ginza.
“Kami mendengar tikus bergelut ketika bangunan teater lama dirobohkan di kawasan kejiranan ini,” kata pengurus restoran berusia 56 tahun itu, yang namanya juga tidak mahu disiarkan.
“Sesetengah jiran kami juga terlihat memberikan makanan kepada kucing liar pada masa ini. Itulah cara kami bertahan.”
Persatuan Jalan Ginza, yang menyatukan perniagaan tempatan, bahkan mencipta sebuah pasukan petugas anti-tikus khas pada tahun lepas.
Ahli penghapus Tokyo, GP Corporation memberitahu pelanggan di kawasan itu supaya mengambil langkah-langkah yang perlu.
“Kami menyeru mereka untuk terus berjaga-jaga dan tidak membiarkan pintu-pintu terbuka kerana tikus pembetung boleh datang sebaik sahaja operasi pemindahan bermula,” kata Kazuya Takahashi dari syarikat itu.
Hiroyasu Ito, seorang pedagang ikan veteran yang sudah lama berada di pasar Tsukiji itu sendiri, telah mengenali Tsukiji sejak zaman ketika pembeli dan penjual berkomunikasi melalui telegram.
Kini pengerusi Persatuan Pemborong Makanan Laut, Ito menyedari isu pasar tersebut.
“Kami mempunyai banyak masalah. Burung-burung terbang masuk, begitu juga tikus-tikus yang kelihatan keluar masuk dengan bebas,” katanya mengenai kemudahan terbuka itu.
Tetapi dia menekankan bahawa pasar itu mempunyai rekod kebersihan makanan yang mengagumkan. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, pemain pasaran telah membuat usaha sanitasi yang terbaik, dengan adanya pemeriksa khas berjaket putih yang memeriksa keselamatan makanan setiap hari.
“Kami tidak mempunyai apa-apa kejadian keracunan makanan di pasar ini. Kami begitu berbangga dengannya,” kata Ito kepada AFP.
Walau bagaimanapun, beliau mempunyai jangkaan yang lebih tinggi bagi tempat kemudahan Toyosu yang baharu, dilengkapi dengan sistem penyejukan yang canggih.
Kompleks gergasi itu berdiri di atas tanah yang ditebus hampir dua kali lebih besar daripada Tsukiji dan dilengkapi dengan penghawa dingin sepenuhnya dan bersiap sedia untuk mengalu-alukan penyewa baharu.
“Perbezaan terbesar ialah Toyosu adalah sebuah pasar tertutup, jadi semua pembelian dan jualan akan dilakukan di bangunan ini,” kata Masataka Miyake, seorang pegawai Tokyo yang sedang bersiap sedia untuk kemudahan baharu itu.
Asalnya telah dirancang pada tahun 2016, tetapi penempatan semula Tsukiji telah ditunda beberapa kali dan ditangguhkan oleh kerana pencemaran tanah yang begitu teruk di Toyosu, sebuah bekas loji gas.
“Saya berharap jenama Toyosu baharu ini akan menjadi nama keluarga global,” kata Miyake, menggambarkan Tsukiji sebagai tempat yang ‘sangat popular dan meriah.’
Pintu dan bidai di tempat baharu itu menggunakan sensor yang dikawal dan apabila ia terbuka, udara akan dilepaskan dari siling seperti skrin yang tidak kelihatan.
“Tirai udara menghalang udara sejuk daripada keluar,” kata Miyake. – AFP