KUALA TERENGGANU, 22 DIS – Pasar Kedai Payang 1 dan 2 yang menjadi ikon pelancongan negeri ini mula menjadi tumpuan ramai sempena cuti penggal persekolahan kali ini.
Tinjauan Bernama mendapati kedua-dua bangunan yang terletak bersebelahan itu mula dikunjungi pelanggan seawal 9 pagi terutama dari luar Terengganu yang tidak melepaskan peluang bercuti ke negeri ini walaupun musim Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir.
Seorang peniaga pakaian dan batik Izzatulakma Baharuddin, 21, berkata beliau memulakan perniagaan sejam lebih awal iaitu sekitar 8:30 pagi pada musim cuti sekolah bagi memudahkan orang ramai membeli-belah.
Beliau berkata antara produk yang mendapat sambutan ialah kain sarung, baju kaftan dan batik ‘cotton viscose’ kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding batik sutera.
“Harga batik sutera kini sangat tinggi, melebihi RM400 berbanding ‘cotton viscose’ sekitar RM100 hingga RM150 bergantung kepada gred, kualiti dan corak manakala baju kaftan pula RM25 sehelai,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pasar Kedai Payang 1, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang peniaga barangan permainan, aksesori dan patung Ros Safila Mohd, 37, berkata beliau telah menjual 50 patung penyu pelbagai saiz dalam tempoh tiga jam selain rantai kunci penyu. – Bernama