Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Sebanyak $16,252.00 berjaya dikumpulkan dalam acara Pasar Kitani Charity Briskwalk yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di mana acara riadah amal berkenaan berlangsung di Pusat Agribisnes Rimba, hari ini.
Acara itu bertujuan untuk mengumpul sumbangan dana daripada individu, perseorangan dan syarikat untuk didermakan kepada dua buah badan bukan kerajaan iaitu SMARTER Brunei dan Learning Ladders Society.
Keseluruhan sumbangan yang berkumpul disalurkan sepenuhnya masing-masing kepada SMARTER Brunei dan Learning Ladders Society sebanyak 50 peratus.
Sumbangan dana berkenaan bermatlamat untuk membantu kedua-dua organisasi itu dalam menjalankan operasi perkhidmatan pemedulian dan pendidikan khas yang ditawarkan kepada kanak-kanak yang memerlukan khususnya mereka yang didiagnosis dengan autisme di Negara Brunei Darussalam.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan dana serta menyertai acara riadah amal briskwalk ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir, setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai serta kakitangan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya serta orang ramai.
Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan dan diteruskan dengan pelepasan peserta berjalan kaki yang dibahagikan kepada dua kategori trek laluan iaitu sejauh 2.5 kilometer (km) dan 4.5 kilometer.
Di samping itu, acara tersebut juga merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan matlamat untuk memotivasi para peladang dan pengusaha agrimakanan dalam meningkatkan hasil ladang dan produk agrimakanan tempatan melalui Pasar Kitani sebagai platform pasaran dan memudahkan rangkaian pemasaran.
Ia juga menggalakkan para peladang menjadi pengusaha agrimakanan yang berjaya, progresif dan mengeratkan silaturahim, mengukuhkan perhubungan dan pergaulan dalam kalangan komuniti peladang.
Pelbagai aktiviti menarik seperti jualan hasil pertanian segar dari ladang tempatan seperti pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, beras tempatan serta telur ayam pada harga berpatutan dan produk-produk agrimakanan tempatan boleh didapatkan di Dewan Melati, Pasar Kitani.
Beraneka jenis produk agrimakanan hasil inovatif anak-anak tempatan sepert keropok, biskut, kuih-muih, makanan sejuk beku, sos cili, jeruk buah-buahan dan banyak lagi boleh didapatkan di lokasi yang sama.
Sepanjang acara berkenaan dijalankan, beberapa agensi kesihatan dan kecergasan, perkhidmatan perancangan kewangan turut serta dalam menawarkan perkhidmatan konsultasi secara percuma khususnya dibukakan kepada orang ramai yang menyertai acara berkenaan.
Bagi memeriahkan lagi sambutan acara itu, sebagai aktiviti tarikan kepada orang ramai, Pasar Kitani Charity Briskwalk turut menjemput dan mengalu-alukan para pencinta kucing untuk hadir beramai-ramai mengunjungi Pameran Kucing yang telah bermula kelmarin hingga hari ini.
Pada lazimnya, operasi perniagaan Pasar Kitani diadakan pada setiap minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad dan bermula pada pukul 6 pagi hingga 2 petang di Dewan Melati, Pasar Kitani, Pusat Agribisnes Rimba.