Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasar Kitani perkasa produk tempatan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Sempena Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) ke-14, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bersama Jabatan Perikanan telah mengadakan Pasar Kitani di Pusat Agribisnes, Rimba Gadong selama tiga hari bermula kelmarin dengan tema Memperkasa Produk Tambah Nilai, Pemacu Ekonomi Negara.

    Hadir di acara berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    HPPPN diadakan untuk menghargai dan meraikan sumbangan dan jasa para peladang, petani, penternak dan nelayan di negara ini yang telah banyak berkorban, bekerja keras dan komited di dalam memastikan sekuriti makanan negara tercapai.

    Selain itu, terdapat juga aktiviti harian yang disediakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, seperti pameran, sesi taklimat, pertandingan meneka berat barang, pertandingan secara berkumpulan menjalin kelupis, kuiz, sesi tunjuk cara memproses ais krim daripada buah-buahan dan lain-lain lagi.

    Untuk sambutan tahun ini, beberapa acara telah diaturkan bermula dengan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil, Membaca Doa Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diadakan di Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut pada 31 Oktober.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menghadiri acara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KSSUP
    GAMBAR SERAHAN KSSUP
    GAMBAR SERAHAN KSSUP
    GAMBAR SERAHAN KSSUP
    GAMBAR SERAHAN KSSUP

    Majlis tersebut melibatkan jemaah yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama para peladang, petani, penternak dan nelayan negara ini.

    Acara kemuncak sambutan HPPPN akan berlangsung pada 5 November iaitu Majlis Malam Penghargaan HPPPN yang akan berlangsung di Damai Ballroom, Hotel Aman Hills.

    Jualan besar-besaran merupakan aktiviti utama yang diadakan selama tiga hari tersebut.

    Jualan ini adalah bagi mengetengahkan lagi produk keluaran tempatan dari industri pertanian, perikanan, penternakan dan agrimakanan.

    HPPPN disambut pada 1 November setiap tahun dan ia diselenggarakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bersama Jabatan Perikanan setelah diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Baginda merasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2009, pada 19 November 2009.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda