Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasar Rakyat 2024 serlah produk, budaya Indonesia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Lebih 2,000 pengunjung, termasuk orang ramai dan warga Indonesia, mengunjungi Pasar Rakyat 2024 anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di perkarangan kedutaan berkenaan di Bandar Seri Begawan, sempena Hari Ulang Tahun (HUT) Republik Indonesia ke-79.

    Acara selama dua hari yang bermula kelmarin menampilkan 50 petak jualan daripada pengusaha Indonesia di Brunei, yang menawarkan pelbagai produk khas Indonesia seperti makanan, minuman, kraf tangan dan kain.

    Hadir pada acara tersebut ialah Duta Besar Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Prof Dr Achmad Ubaedillah.

    Acara tersebut memfokuskan kepada usahawan kecil dan sederhana di Brunei, khususnya yang memasarkan produk Indonesia atau menggunakan bahan-bahan dari Indonesia, dengan harapan membantu pengusaha meneroka pasaran di negara ini.

    Sepanjang acara, pengunjung berpeluang menikmati makanan tradisional Indonesia seperti rawon, bakso, cilok, pecel, rendang dan tiwul serta pelbagai lagi hidangan istimewa.

    Di samping petak jualan produk makanan, pakaian dan kecantikan, beberapa perkhidmatan lainnya turut ditawarkan kepada para pengunjung termasuklah universiti terbuka dan sebagainya.

    Acara tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, termasuk pertandingan dan persembahan pentas, serta persembahan kesenian dan muzik rakyat oleh warga Indonesia di Brunei, di mana sambutan yang luar biasa daripada komuniti Indonesia di negara ini juga membantu mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

    TYT Prof Dr Achmad Ubaedillah semasa mengunjungi salah satu petak jualan di perkarangan KBRI. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Orang ramai semasa berkunjung ke pasar jualan berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara persembahan tarian yang menyemarakkan acara tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda