Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Lebih 50 petak jualan dan pameran menyertai Pasar Rakyat 2023 yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Bandar Seri Begawan yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di perkarangan kedutaan berkenaan.
Juga hadir pada acara tersebut ialah Kuasa Usaha Ad Interim (KUAI) KBRI di Bandar Seri Begawan, Irwan Iding.
Acara tersebut yang memfokuskan kepada usahawan kecil dan sederhana di Brunei, khususnya yang memasarkan produk Indonesia atau menggunakan bahan-bahan dari Indonesia, dihasratkan dapat membantu para pengusaha untuk meneroka produk Indonesia atau jualan mereka ke pasaran Brunei.
Semasa acara berkenaan, pengunjung berpeluang mendapatkan makanan tradisi Indonesia seperti rawon, bakso, cilok, pecel, rendang, tiwul dan bermacam-macam lagi.
Di samping petak jualan produk makanan, pakaian dan kecantikan, beberapa perkhidmatan lainnya turut ditawarkan kepada para pengunjung termasuklah universiti terbuka dan sebagainya.
Ia juga diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan dan persembahan pentas, persembahan kesenian dan muzik rakyat oleh warga Indonesia yang berada di negara ini.
Acara yang diadakan dengan cukup meriah tersebut mendapat sambutan yang luar biasa khususnya bagi para komuniti warga Indonesia yang berada di negara ini untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan produk dan barangan Indonesia sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama yang lain.