ISTANBUL – Di sebuah pasar raya di Istanbul yang dahulunya dipenuhi pelanggan untuk membeli pelbagai jenis barangan, kini benar-benar sunyi apabila inflasi menyebabkan harga tidak mampu dimiliki.
Kedai itu hampir kosong pada tengah hari Khamis lalu, di mana beberapa pelanggan menyemak tanda harga terkini di rak dan kemudian pergi dengan beg beli-belah kosong, manakala pekerja mengadu jualan telah jatuh terlalu banyak kerana harga semakin meningkat.
Produk tenusu semuanya telah melonjak tanpa mengira jenama, selepas Majlis Tenusu Kebangsaan Turki melaraskan harga penanda aras susu mentah sehingga lebih 30 peratus.
Harga sekilo keju putih, barang yang sangat diperlukan pada meja sarapan Turki, telah meningkat daripada 80 lira Turki (kira-kira AS$4.27) kepada sekurang-kurangnya 120 lira, manakala sekilo cheddar lama mencecah 195 lira pada beberapa jenama.
“Saya memotong pembelian saya sebanyak yang mungkin. Jika saya membeli keju putih, saya tidak melihat keju cheddar atau mana-mana produk lain,” kata seorang ibu kepada Xinhua dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Wanita itu berkata dia berhenti membeli enam pek susu organik 200ml selepas harganya meningkat daripada 30 lira kepada 53 lira, walaupun itu minuman asasi anaknya.
“Harga melambung tinggi. Kami tidak boleh berbelanja lebih dengan gaji ini,” keluhnya sambil menyatakan bahawa gaji minimum bulanan berjuta-juta pekerja di negara ini ialah 4,250 lira.
Seorang penjaga kaunter keju mengadu tentang kemerosotan jualan yang mendadak, terutama selepas kenaikan harga terkini produk tenusu.
“Jika zaman dahulu masih kekal, awda tidak dapat mencari masa untuk menemu bual saya kerana orang ramai … awda lihat, sekarang hampir tiada sesiapa kerana kuasa pembelian rakyat telah berkurangan,” katanya yang enggan memberikan namanya.
Sevda Alkin, yang sering ke pasar, berhasrat untuk membeli beberapa botol susu untuk dua cucunya, tetapi dia membatalkan rancangan itu selepas melihat harga jenama yang dipilih ialah 22 lira, meningkat daripada harga asalnya 15 lira sebulan lalu.
“Cucu saya minum segelas susu setiap petang, tetapi nampaknya kami tidak mampu lagi,” katanya.
Rosalina adalah warga asing yang datang ke Turki 22 tahun lalu untuk pekerjaan yang layak dengan gaji lumayan. Kini dia mempertimbangkan untuk kembali ke negaranya, kerana pendapatannya telah lama terjejas berikutan kenaikan inflasi.
Inflasi tahunan Turki melonjak kepada 69.97 peratus pada April, mencecah paras tertinggi dua dekad, umum Institut Statistik Turki pada 5 Mei lalu.
Lonjakan harga tahunan tertinggi adalah dalam sektor pengangkutan dengan 105.86 peratus, manakala kos makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 89.1 peratus.
Turki sedang mengalami masalah kewangan yang tidak dapat dilihat dalam beberapa dekad, dengan lira Turki kehilangan separuh nilainya tahun lalu akibat pandemik COVID.
Konflik Rusia-Ukraine turut memburukkan lagi keadaan, mendorong harga komoditi ke paras tertinggi baharu. – Xinhua