Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Pelbagai produk termasuk makanan segar, buatan tangan dan kraf yang dihasilkan oleh usahawan tempatan telah diketengahkan semasa Pasar Tani Temburong yang diadakan di Ruang Legar Supertree dan Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar.
Acara yang dianjurkan oleh Darussalam Enterprise (DARe) dengan kerjasama Pejabat Daerah Temburong itu telah dilancarkan bersama oleh Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei dan DARe, Daniel Leong, kelmarin.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, yang juga Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau.
Pasar Tani Temburong merupakan inisiatif inovatif yang bermatlamat untuk meningkatkan aktiviti keusahawanan di Daerah Temburong di mana ia mengumpulkan petani tempatan, penge-luar produk tempatan dan mereka yang mahir dalam pertukangan tangan dalam sebuah platform untuk mengetengahkan perkhidmatan serta produk-produk unik mereka secara langsung kepada para pengguna.
Ia juga bermatlamat untuk mempromosikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, meraikan kepelbagaian budaya serta memupuk hubungan komuniti yang bermakna.
Acara itu juga menyaksikan kolaborasi antara Pejabat Daerah Temburong, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Progresif Media dan DARe di mana ia mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasakan usahawan tempatan, meningkatkan penglibatan masyarakat dan mempromosikan pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.
Pasar Tani Temburong dihasratkan untuk memperkasa usahawan tempatan dengan menyediakan sebuah ruang fizikal bagi mereka mengetengahkan perkhidmatan dan produk mereka, menarik minat bakat-bakat baharu ke Daerah Temburong serta menggalakkan pertumbuhan ekosistem keusahawanan tempatan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi di kawasan itu.
Selain daripada acara jualan, acara turut diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan gulintangan dan tarian, pameran pakaian Puak Murut (Lun Bawang), pertandingan membungkus Nuba Tenga dan tayangan filem tempatan.