BANGKOK, 14 DIS – Kebakaran di pasar terbuka popular di tengah Bangkok kelmarin mengeluarkan kepulan asap hitam yang terlihat dari seluruh ibu kota Thailand.
Rakaman video yang diambil dari bangunan berhampiran menunjukkan bahagian dua baris gerai berbumbung di pasar JODD Fairs Rama 9 berkobar-kobar ketika orang ramai terus berjalan berhampiran. Pasar itu terletak di blok antara gedung serbaneka utama di sepanjang jalan raya dan bangunan pejabat.
Seorang pegawai balai bomba daerah Huay Kwang berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu sejurus sebelum 4:30 petang dan berjaya mengawalnya kira-kira 20 minit kemudian.
Beliau menyatakan bahawa laporan awal menunjukkan tiada kemalangan jiwa selain seorang wanita mengalami cedera ringan. Dia tidak tahu punca kebakaran itu.
Pegawai itu bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan media.
Pasar yang terkenal dengan gerai makanan itu beroperasi pada waktu malam dan dibuka pada pukul 4 petang, dan tidak sesak ketika kebakaran berlaku. – AP


